Misi Harimau Malaya Benam Timor Leste

Skuad Harimau Malaysia tekad dengan misi memburu kemenangan ke atas Timor Leste pada perlawanan kedua Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 hari ini meskipun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah memiliki kelebihan tiga gol selepas aksi pertama Khamis lalu.

Misi Harimau Malaya Benam Timor Leste

Sentuhan penyudah penyerang Hazwan Bakri sudah pasti akan ditagih sekali lagi oleh skuad negara selepas pemain berusia 24 tahun itu cemerlang dengan ledakan dua gol dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ke atas Timor Leste.



Bagi Hazwan, biarpun menyimpan hasrat untuk mengulangi persembahan itu apabila sekali lagi diberi peluang beraksi di Larkin bagi perlawanan kedua malam ini namun keutamaannya adalah untuk membantu pasukan mara ke pusingan kelayakan peringkat kumpulan.

“Memang diakui keyakinan saya semakin bertambah selepas dapat menjaringkan gol dalam perlawanan tempoh hari dan saya harap dapat melakukannya lagi. Tapi apa yang penting adalah kemenangan pasukan tidak kira siapa yang menjaringkan gol.

“Walaupun sudah mendahului 3-0, kami tetap kena fokus kerana apa saja boleh berlaku. Kami tidak boleh ambil mudah dan akan turun bermain dengan sasaran mencapai kemenangan,” katanya.