Keputusan England-Russia, England putih mata

Jaringan minit akhir Vasili Berezutski menjadikan keputusan akhir perlawanan antara England dan Russia 1-1 sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata pada aksi kedua Kumpulan B yang berlangsung di Stade Velodrome, Marseille, sebentar tadi.

Keputusan England-Russia, England putih mata

England yang membuat keputusan untuk tidak menurunkan penyerang sensasinya, Jamie Vardy perlu menyalahkan diri sendiri apabila mendominasi permainan namun gagal menyudahkan peluang yang ada apabila selesa dengan kelebihan satu gol sehinggalah dihukum dengan jaringan Berezutski pada minit kedua masa tambahan.

Pada aksi tersebut, cubaan Adam Lallana pada minit ke-22 sekadar tersasar sebelum kapten pasukan, Wayne Rooney melorongkan hantaran cantik kepada Dele Alli dalam kotak penalti pada minit ke-32 namun sempat dipintas Vasili Beretzutski untuk sepakan sudut buat England.

Dua minit berselang, Alli pula melakukan hantaran kepada Rooney namun rembatan deras penyerang Manchester United itu tepat ke arah penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev.

Pada separuh masa kedua, Eric Dier nyaris tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-59 namun sempat ditepis keluar penjaga gol England, Joe Hart sebelum Rusia sekali lagi mengancam kubu England menerusi Fyodor Smolov namun cubaannya tersasar pada minit ke-63.

Rooney hampir memecah kebuntuan England apabila membuat rembatan namun Akinfeev memperaga aksi menyelamat menakjubkan untuk menepis cubaan Rooney pada minit ke-71.

Walaupun begitu, Akinfeev akhirnya tewas tiga minit kemudian apabila Dier menyumbat masuk gol pembukaan England menerusi sepakan percuma yang menerjah bahagian penjuru kiri gawang gol Rusia.

Namun, hasrat The Three Lions untuk meraih tiga mata penuh dileburkan pada saat akhir apabila tandukan Berezutski menjadikan kedudukan 1-1.

Keputusan ini menyaksikan England sekali lagi gagal mencatat kemenangan pada perlawanan pembukaan Euro selepas sekadar mencatat empat seri dan tewas lagi empat aksi sebelum ini.