Jenazah Muhammad Ali selamat dikebumikan

Jenazah petinju legenda, Muhammad Ali telahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam Cave Hill di bandar kelahirannya di Louisville, Kentucky semalam. Majlis pengebumian itu diadakan secara tertutup dan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Jenazah Muhammad Ali selamat dikebumikan

Sebaik sahaja melihat kereta yang membawa jenazah Muhammad Ali, ribuan pengunjung yang membanjiri bahu jalan melaung nama juara heavyweight dunia tiga kali itu .

Malah ramai pengunjung bertindak membaling bunga ros merah ke atas kenderaan yang membawa jasad Ali sehingga hampir menutupi cermin hadapan bahagian pemandu.



Ahli keluarga dan rakan karib Ali dilihat menaiki beberapa kenderaan lain di belakang kenderaan membawa jenazah petinju itu.

Sebelum tiba di tanah perkuburan, barisan kenderaan konvoi itu berarak sejauh 30 kilometer termasuk melalui jalan di hadapan beberapa bangunan yang penting dalam kehidupan Ali.

Muhammad Ali merupakan seorang atlet sukan yang disifatkan sebagai juara rakyat telah menghembuskan nafas terakhir Jumaat minggu lalu di sebuah hospital di Arizona pada usia 74 tahun.

Satu upacara memperingati Ali turut diadakan dan dihadiri ribuan pengunjung termasuk tokoh dalam industri sukan, hiburan dan politik.

Upacara yang bermula dengan bacaan ayat-ayat al-Quran itu sekali gus menandakan tamatnya tempoh dua hari memberi penghormatan terakhir kepada Ali yang juga dikenali sebagai ‘The Greatest.’

“Kami amat sayangkan ayah. Sehingga kita bertemu lagi, terbanglah rama-rama. Terbanglah,” kata anak Ali, Rasheda pada majlis tersebut. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4BJIjKrlF Hakcipta terpelihara