Malaysia Juara Kumpulan C Piala Thomas



Skuad Badminton negara melaksanakan misi awal dengan baik apabila muncul juara Kumpulan C Piala Thomas dengan menundukkan Korea Selatan 3-2 pada aksi terakhir di Pusat Sukan Kunshan, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengelak bertemu pasukan pilihan pada undian suku akhir yang dijangka dibuat esok.

Dalam perlawanan akhir kumpulan, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah menyumbang mata pertama apabila menewaskan Son Wan Ho 21-18, 21-15 sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi acara beregu pertama.

Pasukan beregu negara, Goh V Shem-Koo Kien Keat kalah kepada pasangan Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dalam straight set 16-21, 11-21.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang merupakan pemain perseorangan kedua negara meletakkan Malaysia kembali di hadapan apabila mengalahkan Lee Dong Kun 21-17, 21-15.

Perlawanan semakin mendebarkan apabila beregu kedua negara, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong pula kalah kepada Kim Gi Jung-Kim Sa Rung 14-21, 22-24 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun Chong Wei Feng yang beraksi dengan penuh keyakinan telah menyelamatkan misi negara apabila dengan mudah menewaskan Jeon Hyeok Jin 21-16, 21-16 untuk muncul juara kumpulan.