Pemain Red Warriors mahu Azman kembali memimpin



Masalah yang melanda pasukan Kelantan tidak pernah surut. Terbaru timbul desakan daripada pemain pasukan itu sendiri yang mahu bekas pengurus musim lalu, Azman Ibrahim kembali mengurus pasukan.

Desakan tersebut timbul setelah pemain-pemain tidak tahan dengan karenah individu tertentu daripada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang disifatkan lebih sudu dari kuah.

Pemain itu yang enggan namanya didedahkan berkata, sistem pengurusan pasukan yang kucar-kacir antara punca skuad pantai timur itu mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super, setakat ini.

Menurut beliau lagi, dia dan rakan sepasukannya sepakat mahu bekas pengurus berusia 56 tahun itu kembali seberapa segera memimpin skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW).

“Kami mahu Azman kembali menjadi pengurus pasukan kami. Itu sahaja yang kami minta. Sudah banyak kerosakan yang berlaku dalam pasukan ini akibat tindakan pihak tertentu yang tidak pandai menguruskan bola sepak tetapi buat-buat bijak.

[Disyorkan : Kenapa pemain Semenanjung dapat pengampunan, kami tidak - Matlan Marjan]

“Kami sudah lama bersabar dengan masalah ini, hendak mengadu tidak ada tempat. Saya percaya jika perkara ini tidak dapat diatasi dengan segera ia akan menjadi barah dalam pasukan ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Kata pemain itu lagi, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila terdapat laporan yang dikemukakan kepada ketua jurulatih, K Devan mengatakan barisan pemain skuad PQP TRW terjebak dengan masalah disiplin.

Bagaimanapun, pemain itu menafikan perkara tersebut dan menganggap ia mungkin hanya untuk dijadikan alasan untuk merombak pasukan berkenaan.

“Hubungan kami dengan Devan selaku ketua jurulatih sangat baik dan semua pemain juga senang dengan corak latihan dikendalikannya. Kalau hendak kata ada masalah disiplin, mana-mana pasukan lain termasuk kelab terbaik di dunia pun pasti ada masalah.

“Kalau letak kenderaan tidak tersusun pun dikatakan pemain tak ada disiplin, saya tak tahu nak cakap apa lagi. Itu tak termasuk lagi dakwaan pemain tidak serius ketika sesi memanaskan badan dan macam-macam lagi,” katanya.

Melihat hanya satu jalan penyelesaian, pemain berkenaan merayu agar Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa campur tangan bagi melenyapkan kemelut dalaman yang melanda pasukan itu.