Keputusan Malaysia lawan Myanmar, seri 0-0

Malaysia hanya mampu beri keputusan seri 0-0 tanpa jaringan ketika bertemu barisan muda Myanmar pada perlawanan persahabatan di Stadium Thuwunna, Yangon, malam ini.‎

Malaysia lawan Myanmar

Melalui perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar, ternyata anak didik Datuk Ong Kim Swee gagal memperkemaskan usaha di semua posisi hingga sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

Asakan pasukan tuan rumah yang kebanyakannya terdiri daripada pemain bawah 23 tahun itu menyebabkan skuad negara buntu dan kehilangan idea untuk mencari gol.



Sebaliknya, benteng pertahanan negara yang diketuai kapten pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dilihat menerima asakan bertali arus jentera serangan Myanmar sehingga memaksa penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan keluar bagi menepis beberapa percubaan berbahaya pasukan tuan rumah.

Menerusi jaringan pemain gantian, Than Paing pada minit ke-56 telah meletakkan Myanmar dihadapan namun ia tidak disahkan pengadil, Sivakorn Pu-Udom dari Thailand kerana pemain berkenaan dikatakan berada pada kedudukan offsaid.

Pasukan Malaysia akan pulang hari ini sebelum ke Johor Baharu bagi menghadapi Timor Leste pada dua aksi playoff Piala Asia 2019 pada 2 dan 6 Jun ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.