Kenapa pemain Semenanjung dapat pengampunan, kami tidak - Matlan Marjan



Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi pengampunan kepada bekas pemain yang pernah terbabit rasuah pada 1994-95 pastinya menggembirakan banyak pihak, terutamanya bekas pemain yang terbabit.

Bagaimanapun, pengumuman itu bukan lah berita yang menggembirakan buat legenda bola sepak negara, Matlan Marjan, berikutan terpaksa meneruskan penantiannya untuk kembali aktif memeriahkan arena bola sepak negara.

Matlan adalah diantara enam pemain lain yang masih belum mendapat pengampunan sepenuhnya daripada FAM, selepas mereka dijatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup kerana terbabit rasuah, kira-kira 21 tahun lalu.

Lima lagi pemain yang turut menerima nasib yang sama ialah rakan sepasukannya dalam skuad Sabah pada waktu itu, Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.

"Saya gembira rakan-rakan di Semenanjung akhirnya mendapat pengampunan sepenuhnya. Tapi bagi saya, keputusan itu sepatutnya dibuat secara menyeluruh dan tidak 'pilih kasih' kerana sebelum ini kami semua menandatangani satu memorandum yang sama.

"Kenapa perlu ada keputusan yang berbeza, bekas pemain di Semenanjung mendapat pengampunan tetapi kami di Sabah masih belum mendapatkan pengampunan sepenuhnya.

"Saya tidaklah menyalahkan FAM 100% tetapi kita lihat sendiri nanti bagaimana reaksi peminat-peminat bola sepak di Sabah," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Matlan, 48, berkata bagaimanapun dia bersyukur kerana masih dapat mencurahkan bakti dalam bola sepak walaupun hanya di peringkat dalam negeri dan daerah.

"Itu pun masih ada beberapa syarat yang saya perlu ikut, contohnya ketika saya membawa pasukan Kota Belud dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) ke peringkat kebangsaan, nama saya tidak boleh ada dalam 'kertas'.

"Saya berharap kami pun akan mendapat pengampunan sepenuhnya kerana kami juga mahu mencurah bakti untuk membangunkan bola sepak tanah air sekiranya diberi peluang," katanya.

Bekas penyerang yang pernah meledak dua gol untuk Malaysia dalam aksi persahabatan bertemu England pada 1991 itu turut tidak menolak kemungkinan akan bersetuju membantu skuad Sabah sekiranya diberi peluang.

"Kalau diberi peluang, siapa yang tidak mahu membantu negeri sendiri, apatah lagi bola sepak sudah menjadi darah daging saya," katanya.

Semalam, seramai 73 daripada 84 bekas pemain yang pernah terbabit rasuah kini bebas daripada penggantungan. Lima pemain lagi sudah meninggal dunia.

Namun, enam lagi pemain, termasuk Matlan yang digantung seumur hidup, perlu dirujuk kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA, sebelum dipertimbang untuk diberi pengampunan sepenuhnya.