KAFA perlu dikenakan tindakan tegas oleh FAM



“FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak boleh lagi mengambil sikap berlembut dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Tindakan tegas perlu diambil agar masalah tunggakan gaji tidak berlarutan.”

Demikian tegas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad semalam ketika mengulas isu tunggakan gaji yang masih belum dijelaskan oleh KAFA kepada lima bekas pemain Kelantan musim lalu termasuk bekas jurulatihnya, Steve Darby.

Menurut Mokhtar, isu tunggakan gaji ini tidak akan selesai kecuali FAM mengambil tindakan yang sewajarnya.

Malah, Mokhtar turut bengang dengan sikap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang menempelak FAM serta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berhubung kemungkinan KAFA bakal berdepan pembatalan pendaftaran musim depan jika masalah tunggakan gaji ke atas bekas lima pemainnya masih menemui jalan buntu.

Lima pemain yang terlibat ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd. Fitri Omar yang pernah menyarungkan jersi Kelantan pada musim lalu.

[Disyorkan : Nazmi Faiz terima enam jahitan di kening ditanduk Wan Zaharul Nizam]

Malah, Annuar juga turut me­nyalahkan FAM yang didakwanya tidak membantu KAFA untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Bagi mengelak perbalahan antara KAFA dan FAM berlarutan, saya menggesa agar badan induk bola sepak negara itu jangan terlalu berlembut hati, sebaliknya harus segera mengambil tindakan sekiranya terbukti KAFA didapati bersalah dalam isu tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya itu.

“Apa yang pasti, mereka (KAFA) telah melewatkan bayaran, melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu 90 hari. Saya berpendapat sekiranya benar mereka bersalah, Jawatankuasa Status Pemain atau Jawatankuasa Tatatertib FAM perlu segera mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya mahu agar pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan perkara tersebut perlu tegas membuat sebarang keputusan kerana saya mahu FAM tidak menunjukkan sebarang kompromi,” kata Mokhtar ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bengkel Pengarah Teknikal Konfederasi Bola Sepak Dunia (FIFA) di Hotel Hilton, Peta­ling Jaya semalam.

Mokhtar juga turut berkata, sekiranya hukuman telah dijatuhkan, pihak KAFA tetap akan dibenarkan untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman atau sebagainya.

Dalam perkembangan lain, KAFA telah diberi tempoh sehingga 30 Mei untuk menyelesaikan status gaji bekas pemainnya, Gilmar da Silva yang masih tertunggak AS$89,000 (RM357,246) dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas turut diambil.

Selain itu, KAFA juga masih belum melunaskan tunggakan gaji Darby berjumlah RM165,000.