China aibkan pasukan Badminton Malaysia 5-0

Badminton

Skuad wanita negara kalah 5-0 dengan pasukan gergasi badminton China dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Uber di Pusat Sukan Kunshan di sini, hari ini.

Pemain perseorangan pertama negara, Tee Jing Yi nyata bukan saingan buat juara Olimpik, Li Xuerui apabila pemain China itu memperoleh kemenangan mudah 21-13, 21-11 dalam masa 32 minit.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada beregu utama negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei yang menonjolkan semangat juang tinggi serta memberi tentangan sengit kepada gandingan Tang Yuanting/Yu Yang.

Selepas kalah 11-21 pada set pertama, beregu negara bangkit semula untuk menang set kedua dengan 21-14. Mereka hampir melakukan kejutan apabila mendahului 18-11 pada set penentuan.

Namun sikap teruja untuk mengejar mata memakan diri apabila mereka mula melakukan banyak kesilapan sehingga gandingan China itu dengan tenang mengutip mata demi mata untuk menang 21-18.

[Disyorkan : Chong Wei tewaskan Lin Dan]

"Kami mengawal set ketiga sehingga dapat mendahului pungutan mata. Oleh kerana terlalu teruja untuk menang set itu, kami mula hilang tumpuan dan melakukan kesilapan.

"Kami mula rasa tertekan apabila mereka mula menyamakan pungutan mata dan memang kesilapan kami kerana gagal mengambil peluang ini untuk mengutip mata," kata Vivian.

Goh Jin Wei yang merupakan Juara Remaja Dunia turut gagal memberi tentangan kepada pemain nombor empat dunia, Wang Yihan dengan keputusan 16-21, 14-21.

Pemain berusia 16 tahun itu mengakui terdapat jurang besar antaran pemain negara dengan pemain China yang menduduki ranking kelima terbaik dunia.

Beregu kedua negara, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean juga mengalami nasib malang apabila ditewaskan oleh Tian Qing/Zhao Yunlei dengan 15-21, 21-19, 11-21.

Pemain perseorangan ketiga negara, Sonia Cheah, yang kembali semula selepas dua tahun berehat akibat kecederaan buku lali, gagal memberi saingan apabila tewas mudah 9-21, 10-21 kepada Sun Yu.

Malaysia akan menentang Denmark Selasa ini sebelum melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan menentang Sepanyol, Rabu ini.